Isnin, 7 Februari 2011

Keutamaan Solat 5 Waktu

Assalamualaikum,

ALLAH S.W.T. berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا ...

"...Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.." (An-Nisaa:103)

Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya:) "Solat lima waktu diwajibkan ALLAH atas hamba-hambaNya. Sesiapa melakukannya dan tidak mengsia siakan sesuatu darinya kerana meremehkan haknya, maka untuknya di sisi ALLAH ada janji bahawa akan memasukkan dia ke Syurga."

Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya:) "Solat lima waktu ibarat sungai tawar dan segar di depan salah seorang kamu, ia berwudhuk di situ setiap hari lima kali. Apakah engkau lihat kotorannya masih tertinggal?" Mereka menjawab. "Tidak ada kotoran sedikit pun."

Rasulullah s.a.w bersabda, (mafhumnya:) "Solat lima waktu menghilangkan dosa diantaranya selama menjauhi dosa besar."

Imam Bukhari, Muslim dan para ahli hadith meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud bahawa seorang lelaki mencium perempuan. Dia datang dan menceritakan hal itu pada Nabi s.a.w. Seolah olah dia tanya tentang tebusannya. Kemudian turun kepada beliau ayat:

Terjemahannya: "...Dirikanlah solat di waktu dua tepi siang (pagi dan petang).... (Surah Hud:114)

Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah! Apakah ini untuk ku?"

Juga Imam Ahmad, Muslim dan lainnya mengeluarkan dari Abi Umamah bapanya seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. seraya berkata: "Ya Rasulullah! Lakukanlah hak ALLAH pada u sekali atau dua kali." Lalu dia berlalu, kemudian didirikannya solat. Setelah menunaikan solat, Nabi s.a.w. berkata, : "Mana lelaki itu?" "Saya!" Jawabnya. Nabi s.a.w. bersabda: "Apakah engkau sempurnakan wudhuk dan solat bersamaku tadi?" "Ya!" jawabnya, lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Sungguh kamu bersih dari dosa seperti harikau dilahirkan ibumu." Dan ketika itu ALLAH S.W.T. menurunkan pada rasulNya ayat (Hud:114) di atas.

Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya:)

"Antara kita dan orang orang munafik ada saksi Isya' dan Subuh di mana mereka tidak boleh mengerjakannya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya:)

" Solat itu tiang Addin, Siapa meninggalkannya , sungguh telah merobohkan Addin."

Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya:)

"Apakah amal yang paling utama?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya:)

"Siapa menjaga solat lima dengan menyempurnakan segi lahirnya dan waktu-waktunya, maka untuknya ia merupakan nur dan pegangan pada Hari Kiamat. Dan siapa mensia siakannya akan dihimpun bersama Firaun dan Hamman.

Rasulullah s.a.wbersabda,(mafhumnya:)

"Kunci Syurga itu adalah Solat."

Dan baginda bersabda (mafhumnya:)

"ALLAH S.W.T tidak mewajibkan pada makhlukNya setelah tauhid yang lebih disukaiNya daripada Solat. Kalau ada sesuatu yang lebih disukaiNya, tentu para Malaikat akan beribadah dengannya. Maka setengah mereka Ruku',setengahnya sujud, setengahnya berdiri dan duduk."

Nabi s.a.w. bersabda (mafhumnya:)

"Siapa sengaja meninggalkan solat, kafirlah dia."

Yakni hampir meninggalkan iman, melepaskan talinya dan merobohkan tiangnya.

Juga Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya:)

"Siapa dengan sengaja meninggalkan solat, lepaslah dia dari tanggunggan Muhammad s.a.w."

Telah berkata Abu Hurairah r.a. "Siapa wuduk dengan baik lalu keluar hendak solat, sesungguhnya setiap langkah satu kebaikan dan dihapus dengan langkah berikutnya satu keburukan. Jika mendengar Iqamah, tidak seharusnya kamu memperlambat. Sungguh yang paling agung pahalanya adalah kamu yang paling jauh rumahnya. "Mengapa wahai Abu Hurairah?" Tanya mereka. Dia berkata, "Kerana banyaknya langkah"

Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya:)

"Setiap muslim yang sujud kepada ALLAH satu kali, maka Dia akan mengangkat darjatya dan menghapus keburukannya."

Dirawikan bahawa seorang lelaki berkata pada Rasulullah s.a.w. (mafhumnya:)

"Berdoalah kepada ALLAH agar menjadikan aku patut mendapatkan Syafaat mu dan memberiku rezeki menemani mu di Syurga."

Lalu Nabi s.a.w. bersabda (mafhumnya:)

"Mintalah pertolongan pada ku dengan memperbanyakkan sujud"

Dikatakan bahawa hamba yang terdekat pada ALLAH S.W.T. adalah sewaktu dia bersujud. Itulah makna:

"Dan sujudlah (kepada ALLAH) dan berhampir dirilah (kepadaNya) - (AL-Alaq:19)

ALLAH S.W.T berfirman:

"Terdapat di muka mereka itu adalah bekas sujud..." (Al-Fath:29)

Dikatakan anda itu adalah bekas muka mereka menampal tanah sewaktu sujud. Ada pula yang mengatakan, tanda itu ialah nur kekhusyukan yang memancar dari batin kepada lahir. Terakhir inilah yang lebih absah.

Namun yang lain mengatakannya sebagai bekas wudhuk yang nampak pada muka mereka pada hari Kiamat.

Dirawikan bahawa Umar Bin Abd Aziz hanya mahu bersujud di atas tanah.

Yusuf bin Asbath berkata : "Wahai para pemuda, cepatlah semasa sihat sebelum sakit. Tidak seorang pun yang lebih ku hasad selain lelaki yang sempurna ruku' dan sujudnya. Dan sesungguhnya antara aku dan demikian telah terhalang." Said bin Jubair berkata: "Tidak ada sesuatu di dunia yang paling disukai ALLAH adalah lelaki yang suka berjumpa kepadaNya. Dan saat hamba yang paling dekat kepada ALLAH sewaktu sujud kepadaNya.

Abu Hurairah r.a. berkata: "Yang paling dekat seorang hamba kepada ALLAH adalah manakala ia bersujud. Oleh kerananya perbanyakkanlah doa ketika itu."

Oh Muslimah !! (2)

Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja . Wallahu A’lam.

-ust.amir11-

Oh Muslimah !!

Melihat perempuan-perempuan menjerit terkinja semasa konsert Black Eye Peace atau Paramore adalah sesuatu yang tidak pelik.


Muziknya menyebabkan kita terasa nak melompat dan menggerakkan kepala.

Namun, bagaimana pula andai kita melihat perempuan-perempuan bertudung terjerit-jerit semasa konsert nasyid Maher Zain?

Rasanya tiada pun lagu Maher Zain yang rancak seperti lagu-lagu Paramore atau Soutul Harakah?

Sukar untuk mempercayai apa yang berlaku, namun itulah yang terjadi semasa konsert Maher Zain di Gombak baru-baru ini.

Dimanakah malu seorang muslimah?

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sifat malu merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang Iman" - Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Asal iman ialah telanjang (tiada pakaian). Pakaiannya ialah takwa dan perhiasannya ialah malu."

Mengapa kita tidak menangis mendengar lagu yang menyentuh emosi?

Sedangkan ia lebih baik andai lagu-lagu Maher Zain mampu menginsafkan diri.

Adakah dengan mendengar lagu Maher Zain, iman kita bertambah dan taqwa semakn utuh? Atau kita hanya leka dengan muziknya?

Wahai muslimah,

Peliharalah akhlakmu. Jangan terlalu 'excited' dengan artis yang disayangi sehingga melupakan akhlak.

Para sahabat nabi pernah bertanya: "Siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?" Rasulullah SAW menjawab: "Orang yang paling baik akhlaknya." - Riwayat al-Thabarani

Sebahagian pembaca silap faham dengan berita yang dibawa. Teguran yang kami ingin tekankan adalah muslimat yang menjerit-jerit ketika konsert.

Ayat "melihat perempuan-perempuan menjerit terkinja sambil melompat-lompat semasa konsert Black Eye Peace atau
Paramore adalah sesuatu yang tidak pelik" adalah ayat pendahuluan.

Penekanan berita ini adalah "bagaimana pula andai kita melihat perempuan-perempuan bertudung terjerit-jerit semasa konsert nasyid Maher Zain?" sepertimana tajuk berita "apabila muslimah terjerit-jerit semasa konsert Maher Zain."

Namun bagi mengelakkan salah faham akan datang, ayat pendahuluan disunting menjadi "melihat perempuan-perempuan menjerit terkinja semasa konsert Black Eye Peace atau
Paramore adalah sesuatu yang tidak pelik."

Kami mencadangkan agar untuk konsert-konsert Islam seperti ini, para penganjur atau artis itu sendiri perlu mengingatkan penonton agar menjaga akhlak.

Moga-moga konsert seumpama itu mampu melahirkan keinsafan di kalangan penonton dan bukan sekadar menjadi medan melepaskan rindu kepada artis.

Kisah Seorang Imam

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...

Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

Hukum Lupa Hafazan Ayat-ayat Al-Quran

Asas hukum di dalam isu ini adalah hadith-hadith berikut :-

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " ما من امرئ يقرأ القرآن ثم ينساه إلا لقي الله عز وجل أجذم "

Ertinya : "Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil" ( Riwayat Abu Daud ; Al-Munziri mengatakan ada perawinya Yazid Bin Abi Ziyad, hadithnya tidak dijadikan hujjah; Dhoif menurut Albani ; no 1474, hm 176)

Abu Ubayd menyebut : "Ajzam" di dalam hadith di atas bermaksud terpotong tangan, manakala Ibn Qutaybah pula menyebut ianya bermakna kerdil. ( Ma'alim as-Sunan, AL-Khattabi, 1/253 ; Awnul Ma'bud, Ibn Qoyyim)

Terdapat ulama yang menjadikan hadith di atas sebagai hujjah dalam isu melupakan hafazan al-Quran. Disebut huraian "yaqra" di atas merangkumi maksud membaca dengan melihat, membaca secara hafaz dan membaca makna Al-Quran kemudian meninggalkan pembacaannya secara lupa atau sengaja. Bagaimanapun hadith di atas telah dihukum sebagai dhoif.

Antara hadith lain adalah :-

"عرضت عليّ ذنوب أمتي فلم أر ذنباً أعظم من سورة من القرآن - أو أية - أوتيها رجل ثمّ نسيها"

Ertinya : " Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya" ( Riwayat At-Tirmidzi, bab Fadhail Quran dari Rasulullah SAW, no 2840 ; At-Tirmidzi : Gharib; Al-Munziri : Dhoif kerana perawi bernama Abd Majid Bin Abd Aziz ; rujuk Tuhfatul Ahwazi)

Para ulama salaf berbeza pandangan dalam bab melupakan ayat Al-Quran, sebahagian mereka menjadikannya sebagai dosa besar, antaranya Ulama Syafie seperti Syeikh Ar-Ruyani, Al-Qurtubi dan lain-lainnya yang mengatakan melalaikan pembacaanya adalah penyebab kepada lupa ayatnya, lupa ini menunjukkan tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap Al-Quran. Malah di sebut dalam sebuah riwayat Mawquf :

" ما من أحد تعلم القرآن ثم نسيه إلا بذنب أحدثه , لأن الله يقول (( وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم)) "

Ertinya : Tiada seorang pun yang mempelajari Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana Allah berfirman : " Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri" " mereka menambah : tiada musibah yang lebih besar dari melupakan al-Quran.

Sebuah lagi sambungan hadith di atas tetapi bertaraf mursal menurtu Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqolani; Ertinya : "..tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya" (Dikeluarkan oleh Ibn Abi Daud ; Rujuk Fath Al-Bari)

Imam Al-Qurtubi pula berpendapat bahawa sesiapa yang menghafaz Al-Quran maka telah tinggi darjatnya sekadar mana yang ia hafaz, apabila rosak kedudukan ini kerana lupa maka ia akan membawa kepada jahil, maka jahil selepas berilmu adalah amat buruk. ( Rujuk Fath al-Bari, bab : Kelebihan Al-Quran, no 4650)

Bagaimanapun, sebahagian ulama salaf pula pula menhuraikan maksud lupa di sini adalah melupakannya dengan meninggalkan beramal degan ayat itu. Ini kerana amaran jikakalau lupa ini hanya tertakluk kepada lupakan hafazan al-Quran maka akan berkatalah seseorang , bahawa LEBIH BAIK TIDAK PERLU MENGAHAFAZ TERUS. Maka ia bertentangan dengan objektif Shariah.

Kesimpulannya : Apapun tafsiran dan kekuatan dan kelemahan rawi hadith, sememangnya menjadi kewajiban bagi menjaga hafazan Al-Quran demi mengekalkan ketinggian maqam di sisi Allah, juga amat wajib bagi yang telah mempelajari ilmu-ilmu dari Al-Quran dan memahaminya kemudian melupakannya. Justeru, amat perlu bagi kita umat Islam mengingati hafazan dan ilmu dari al-Qurana untuk di baca dan di amal. Wallahu ‘alam.

-ust.amir11-

Syahidnya Zaid Bin Harith, Jaafar Bin Abi Talib Dan Abdullah Bin Rawahah

Assalamualaikum Wabarakatuh.

Peperangan Di Medan Mauta. Menyaksikan Tentera Islam 3,000 menentang Tentera Kristian Rom 200,000

Kebanyakan surat-surat yang dikirimkan oleh Rasulullah S.A.W kepada beberapa orang raja adalah bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam. Salah seorang yang dihantarnya ialah Raja Busra, surat kepada raja ini dihantar oleh Haris bin Umar Azdi r.a. Apabila sampai di Mauta, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang Gabenor Qaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris Bin Umar r.a. adalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah S.A.W sangat dukacita atas kematian Haris, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Rasulullah S.A.W melantik Zaid Bin Harith sebagai Ketua Pasukan.

Kemudian baginda bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran, " Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar Bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki."

Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata, "Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban, kerana itu adalah lumrah sebagaimana para Nabi yang terdahulu selalu meramalkan."

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah S.A.W memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Rasulullah S.A.W kepada Zaid. Rasulullah S.A.W menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan beliau berdoa, " Semoga Allah S.W.T akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan."

Setelah Rasulullah S.A.W selesai berdoa, Abdullah Bin Rawahah menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud, " Aku hanya menginginkan keampunan terhadap segala dosa-dosa dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar seperti air yang mengalir keluar dari mata air...atau sebilah tombak untuk menembusi masuk ke liang hatiku dan isi perutku...dan ketika insan-insan melalui tepi kuburku, mereka akan berkata, semoga engkau telah gugur kerana Allah.. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur. "

Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil. Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam. Sarjil mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk menghadapi serangan tentera Islam. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah S.A.W untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang, "Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini? Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antar dua, Kemenangan atau Syahid."

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah, maka para sahabat pun beriktikad untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mauta.

Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid r.a. mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran. Maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu.

Sarjil telah mengirim berita kepada Qaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan tentera, maka Qaisar pun menghantar tentera yang gagah berani seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja. dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid (AllahuAkbar), Ketua Panglima tentera Islam.

Jaafar r.a. mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan sengaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan itu, Jaafar membaca beberapa ungkapan syair. " Wahai Manusia ! Betapa Indahnya Syurga. Dan betapa gembiranya tentang kehampiran! Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan, aku mesti hapuskan mereka semua."

Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar r.a (AllahuAkbar). Umur Jaafar r.a. ketika itu ialah 33 tahun.

Abdullah Bin Umar r.a. menceritakan, " Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau."

Sewaktu Jaafar r.a. terbunuh, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan, beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Jaafar, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata, "Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Jaafar telah sampai ke Syurga." (AllahuAkbar)

Tanpa membuang masa, Abdullah Bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya. Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata dalam hatinya, " Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah keran cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah keran kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah"

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata, "Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama tiga hari."

Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran, beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau Syahid di medan pertempuran itu. (AllahuAkbar)

Saudar pembaca, apabila orang-orang Islam berjuang kerana agama Allah, maka perjuangan itu adalah jihad dan doa itu adalah senjata. Orang Islam berjuang dengan iman dan mati dalam syahid. Orang kafir berjuang dengan senjata dan mati mereka seperti mati katak. orang Islam mendapat Syurga sementara orang kafir mendapat neraka.